Khamis, 28 Mac 2013


Novel Lestari Bukit Menghijau
Tingkatan Dua

Kehadiran Pak Tua di Kampung Alor Rambai menimbulkan kecurigaan 
penduduk kampung. Dia dianggap gila kerana membeli bukit yang penuh 
dengan hutan belantara. Bukit tersebut dianggap tidak berfaedah oleh 
penduduk kampung. Pak Tua terlalu mencintai alam sekitar sehingga 
menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan penduduk kampung. 
Dia akan menegur sesiapa sahaja yang cuba menebang pokok. Hubungan 
Pak Tua dengan penduduk kampung tidak mesra, dia tersisih kerana 
sikapnya yang pendiam, suka memencilkan diri dan tidak mesra.
Zahiran sebagai pelajar Tingkatan 3 di kampung tersebut berjaya mendekati 
lelaki misteri ini dalam usaha menjayakan projek sekolah lestari. Projek 
sekolah lestari telah diilhamkan oleh Cikgu Idham, pengetua baharu di SMK 
Alor Rambai yang proaktif dalam menceriakan kawasan sekolah. Zahiran 
dan rakan-rakannya telah ditugaskan untuk mencari beberapa jenis burung 
dan ikan untuk menghiasi taman sekolah mereka. Projek sekolah lestari ini 
adalah sebagai persediaan untuk menyertai pertandingan Sekolah Lestari 
Anugerah Alam Sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan 
Kementerian Pelajaran yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000.
Hasil usaha Zahiran dan rakan-rakannya, Pak Tua mula diterima  oleh 
penduduk kampung. Hamzah yang diserang demam kuning menjadi titik 
permulaan kepada usaha gotong-royong bagi membersihkan kawasan 
rumah Hamzah yang kotor dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. 
Seluruh kampung turut dibersihkan. Hasil cetusan idea Pak Tua, Tabung 
Pak Hamid dilancarkan bagi membantu keluarga malang itu. Penyakit untut 
Pak Hamid berjaya dirawat setelah menjalani pembedahan di Hospital 
Appolo, Chennai, India.

Tragedi pokok Bintangor yang terbakar membolehkan Zahiran mencungkil 
sejarah hidup Pak Tua, iaitu seorang saintis yang pernah tinggal di Chicago, 
Amerika Syarikat. Isteri Pak Tua, Kamariah dan dua orang anaknya Zahirah 
dan Zuwairah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kedua-dua orang 
anaknya meninggal dunia, manakala isterinya menderita penyakit HIV 
akibat pemindahan darah. Kamariah meninggal dunia sewaktu Pak Tua dan 
rakan-rakannya telah berjaya dalam usaha mengumpul sampel untuk 
penawar HIV. Pokok bintangor spesies calophyllum leanigerum merupakan 
estrak penting dalam menghasilkan penawar HIV. Pokok ini banyak 
terdapat di belantara negeri Sarawak dan Pak Tua telah berusaha 
menanam pokok bintangor di sekitar Bukit Bintangor. Akhirnya, Pak Tua 
telah menghembuskan nafas terakhir setelah dia mewakafkan tanahnya di 
Bukit Bintangor untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan. 


Tema:
Kepentingan menjaga alam sekitar. Pak Tua sangat mencintai alam sekitar
sehingga dia sanggup membeli bukit yang dipenuhi hutan belantara. Dia
melarang sesiapa sahaja yang cuba menebang pokok. Dia juga menangis
apabila pokok bintangor kesayangannya terbakar.


Persoalan:
1.   Persoalan cinta akan alam sekitar.
Pak Tua amat mencintai alam sekitar hingga sanggup membeli
sebuah bukit seluas empat hektar yang dipenuhi belantara.
Kawasan bukit ini ditanami dengan pokok bintangor.

2.   Persoalan menjaga kebersihan kawasan persekitaran.
Penduduk Kampung Alor Rambai telah membersihkan
kawasan rumah Pak Hamid dan kawasan kampung demi
mengelakkan penyakit-penyakit bawaan nyamuk.

3.   Persoalan peranan pelajar menjayakan sesuatu projek
sekolah.
Zahiran dan rakan-rakannya berusaha mencari burung dan
ikan untuk menjayakan projek sekolah lestari.

4.   Persoalan mempercayai kepercayaan karut.
Pak Hamid mempercayai khidmat dukun Lebai Deraman yang
mengubati anaknya, Hamzah. Hamzah dikatakan demam
biasa akibat ditegur hantu tanah.

5.   Persoalan para saintis membuat kajian menghasilkan
perubatan moden.
Pak Tua dan rakan-rakannya berjaya menghasilkan penawar
HIV daripada ekstrak pokok bintangor spesies calophyllum
lanigerum.

6.   Persoalan sumber alam yang boleh memberikan manfaat
kepada manusia.
Sumber alam seperti pokok bunga cempaka putih boleh
mengubati bisul. kudis dan radang tengkuk; daun pokok
kacang kelor berkhasiat membantu membersihkan darah,
mengurangkan kandungan gula dan mengawal tekanan darah
di dalam badan.


Watak Utama

Zahiran
-  Anak yatim (bapanya telah meninggal dunia semasa ia berusia
10 tahun).
-  Pelajar Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor
Rambai.
-  Seorang yang baik hati (membantu Pak Tua menukar tayar jip
yang pancit).
-  Menjadi ketua kumpulan mencari burung bagi menjayakan
projek sekolah lestari.
-  Seorang yang mencintai alam sekitar  –  dia sedar manusia
mempunyai hubungan yang rapat dengan alam sekitar.
-  Dapat menguasai nama saintifik beberapa jenis pokok (belajar
daripada Pak Tua).
-  Menjalinkan hubungan erat dengan Pak Tua.
-  Berjaya mengikis anggapan orang kampung terhadap Pak
Tua.
-  Bertanggungjawab. Zahiran melaksanakan tugasan yang
diarahkan seperti mencari burung.
-  Rajin berusaha. Zahiran rajin mengulangkaji pelajarannya dan
mempelajari nama-nama saintifik pokok daripada Pak Tua.
-  Bijak. Zahiran bijak hingga berjaya melanjutkan pelajaran ke
Kolej Matrikulasi Melaka di Londang.
-  Bercita-cita untuk menjadi seorang saintis seperti Pak Tua.


Latar

Latar Masa
-  Sekitar tahun 1990-an (buktinya kajian mencari ubat penyakit
HIV dan adanya pertandingan Sekolah Lestari).
-  Peristiwa berlaku pada waktu pagi, petang dan malam
Contoh peristiwa :
i)   Pagi  –  Zahiran pergi ke Bukit Bintangor untuk
berjumpa dan mengenali Pak Tua dengan lebih
rapat.
ii)   Petang –  Zahiran pergi ke kedai runcit Pak Long
Hamad dan dalam perjalanan dia melihat banyak
tumbuhan hijau yang telah dikenalinya.
iii)   Malam  –  Selepas sembahyang Isyak penduduk
kampung telah berbincang  tentang cadangan
Pak Tua menubuhkan tabung kutipan derma bagi
membantu mengubati penyakit Pak Hamid.

Latar Tempat
-  Kampung Alor Rambai
Secara keseluruhannya, kebanyakan peristiwa berlaku di
Kampung Alor Rambai.
-  Bukit Bintangor
Pak Tua telah menanam pokok bintangor yang hanya terdapat
di belantara Sarawak.
-  Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Rambai
Cikgu Idham memperkenalkan Kempen Amalan Hijau
Sekolah.
-  Pondok Pak Tua di kaki Bukit Bintangor
Pak Tua hidup bersendirian di pondok kayu di bukit itu.
-  Kedai Runcit Pak Long Hamad
Setiap awal bulan, Pak Tua akan ke kedai runcit Pak Long
Hamad untuk membeli barang-barang keperluan dapur



Rumah Hamzah
Pak Tua dan Zahiran mengunjungi rumah Hamzah untuk
melawatnya yang sedang demam.
-  Hadapan rumah Zahiran
Pak Tua menengking Zahiran yang sedang menebang pokok
cempaka putih di hadapan rumahnya.
-  Sungai Jeneri
Sewaktu musim hujan lebat, Sungai Jeneri akan dilimpahi air
deras dan berbahaya.
Latar Masyarakat
-  Masyarakat kampung yang suka membuat fitnah.
Contoh:
Seleman, Setopa dan Kasa menyebarkan fitnah bahawa Pak
Tua terlibat dalam kegiatan haram memproses dadah untuk
diedarkan ke bandar-bandar besar seluruh negara.
-  Masyarakat pendidik yang berwawasan.
Contoh:
Cikgu Idham ialah guru yang berwawasan untuk
merealisasikan impian pelajar Modal Insan Berdisiplin dan
Sekolah Mesra Alam Lestari.
-  Masyarakat pelajar yang rajin dan bertanggungjawab.
Contoh:
Zahiran, Kadir, Hamzah dan rakan-rakannya yang lain rajin
dan bertanggungjawab mencari pokok bunga, ikan dan burung
yang diamanahkan kepada mereka.
-  Masyarakat saintis yang membuat uji kaji tentang penawar
penyakit.
Contoh:
Profesor Osman Yunus bersama dengan beberapa orang
pakar botani membuat penyelidikan dan berjaya menghasilkan
penawar HIV.



Nilai Murni:
1.   Nilai kasih sayang antara sesama insan.
Pak Tua menunjukkan kasih sayang sejati kepada isterinya,
Kamariah sehingga dia sanggup membuat penyelidikan
tentang penawar HIV.
2.   Nilai tolong-menolong dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Zahiran telah menolong Pak Tua menukar tayar keretanya
yang pancit.
3.   Nilai kecekalan menghadapi halangan dan rintangan.
Pak Tua cekal menghadapi dugaan hidup selepas kematian
anak dan isterinya.
4.   Nilai baik hati.
Pak Tua baik hati terhadap keluarga Zahiran dengan
membelikan barang-barang keperluan dapur.
5.   Nilai bertanggunjawab.
Zahiran dan rakan-rakannya bertanggungjawab menangkap
burung dan ikan yang diamanahkan kepada mereka.
6.   Nilai bekerjasama.
Penduduk Kampung Alor Rambai bekerjasama membersihkan
kawasan rumah Pak Hamid dan kawasan kampung demi
menjaga kebersihan kawasan persekitaran. Pak Tua dan
rakan-rakan saintisnya bekerjasama menjalankan uji kaji untuk
mencari penawar HIV.



Pengajaran:
1.   Kita hendaklah berkasih sayang antara satu sama lain.
Pak Tua menunjukkan kasih sayang sejati kepada isterinya,
Kamariah sehingga dia sanggup membuat penyelidikan
tentang penawar HIV.
2.   Kita hendaklah bekerjasama dalam melakukan sesuatu
perkara.
Pak Tua dan rakan-rakan saintisnya bekerjasama
menjalankan uji kaji untuk mencari penawar HIV.
3.   Kita haruslah menolong orang yang berada dalam kesusahan.
Zahiran telah menolong Pak Tua menukar tayar keretanya
yang pancit. Penduduk Kampung juga telah membantu Pak
Hamid dengan mengadakan kutipan derma  bagi mengubati
penyakitnya.
4.   Kita mestilah cekal apabila menghadapi halangan dan
rintangan dalam hidup.
Pak Tua cekal menghadapi dugaan hidup selepas kematian
anak dan isterinya.
5.   Kita perlu bersikap baik hati terhadap orang lain.
Pak Tua baik hati terhadap keluarga Zahiran dengan
membelikan barang-barang keperluan dapur.
6.   Kita hendaklah bertanggunjawab terhadap amanah yang
diberikan.
Zahiran dan rakan-rakannya bertanggungjawab menangkap
burung dan ikan yang diamanahkan kepada mereka.
7.   Kita  mestilah menjaga kebersihan kawasan persekitaran pada
setiap masa.
Penduduk Kampung Alor Rambai bekerjasama membersihkan
kawasan rumah Pak Hamid dan kawasan kampung demi
menjaga kebersihan kawasan persekitaran

1 ulasan: